Ahad, 28 Oktober 2007

ISS - Islamic Space Station

Kerjasama Pembangunan Teknologi dan Penerokaan Angkasa Lepas Dunia Islam.
Oleh : Mohd Ezli Mashut
Futuristic Space Resources
Institute for Future Research
No Tel : 019-2376543
email :ezli007@hotmail.com

Wahai Jamaah Jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus ( melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah , kamu tidak dapat menembusinya melainkan dengan kekuatan
(Surah Ar-Rahman : Ayat : 33)

1. Sejarah kegemilangan Islam lampau yang cemerlang dalam bidang angkasa lepas dan sumbangan ilmuan Islam dalam kemajuan astronomi cukup besar. Malahan hasil cetusan kajian mereka maka hari ini kita menyaksikan negara-negara maju hebat dalam pembangunan dan penerokaan angkasa lepas. Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang kita raikan saban tahun juga wajar dihayati. Falsafah penjelajahan angkasa lepas oleh Junjungan Besar melintasi langit -langit sehingga ke Sidratul Muntaha wajar dijadikan iktibar bersama.

2. Realiti hari ini umat Islam menyedari bahawa kita tertinggal ke belakang dalam aspek pembangunan teknologi angkasa lepas dan penerokaan menjelajah angkasa lepas yang luas ini. Ianya disebabkan oleh beberapa sebab :
Penguasaan terhadap ilmu yang kurang.
Kesedaran masyarakat terhadap budaya ilmu yang belum meluas ke seluruh lapisan masyarakat.
Tidak mengambil berat terhadap kemajuan ilmu di dunia.
Kurang membaca bahan ilmiah dan bermutu tinggi.
Para ilmuan Islam kini kurang secara keseluruhannya dalam menghasilkan karya-karya agung serta penyelidikan secara intensif.
Kurang penghayatan umat Islam terhadap pengajaran Al-Quran dan Hadith.
Kerjasama di antara negara-negara Islam masih lagi lemah dan memerlukan komitmen semua pihak samada masyarakat awam dan kerajaan.

3. Menyedari realiti ini adalah menjadi satu tuntutan untuk umat Islam membawa satu episod baru ketamadunan. Penjelajahan angkasa lepas merupakan satu sempadan baru yang wajar diteroka secara bersama untuk kesejahteraan ummah. Malahan kerjasama negara-negara Islam wajar dipergiatkan lagi dalam aspek perkongsian pintar dalam industri aeroangkasa dan angkasa lepas. Manafaat kerjasama ini dilihat sebagai satu kesatuan ummah di mana mungkin selepas ini umat Islam mempunyai International Space Station sendiri di angkasa lepas dengan hasil kepakaran umat Islam sendiri. Mungkin ISS itu dengan nama Islamic Space Station itu boleh dijadikan makmal pertama di angkasa yang mengaplikasikan tuntutan Al-Quran dan Sunnah sendiri.

4. Islamic Space Station boleh dijadikan lembaran awal kepada dunia Islam dalam melaksanakan eksplorasi alam raya. Jika dahulu ramai pengembara-pengembara agung seperti Ibn Batutah yang menjelajah dunia mungkin selepas ini juga ada umat Islam sendiri yang menjadi pengembara di angkasa lepas pula. Kita pastinya bukan untuk berlumba dengan mana-mana kuasa dunia dalam bidang ini tetapi kita jadikan juga penjelajahan ke angkasa lepas juga satu medan jihad dalam menegakkan Islam ke seluruh dunia.
5. Menyedari misi ini cukup besar dan mencabar. Penubuhan Futuristic Space Resources adalah langkah awal dalam menjayakan dan melaksanakan penerokaan angkasa lepas. Ianya diharap akan menjadi perintis dan pencetus kepada semangat untuk membangunkan teknologi angkasa lepas dan aeroangkasa pada masa hadapan.

6. Kita mensasarkan bahawa sewajarnya ada satu usaha kepada penyelidikan dan pembangunan bidang angkasa lepas yang lebih giat dilaksanakan di Malaysia dan dunia Islam. Malahan kita merancang untuk mengumpulkan semua cerdik pandai Islam, ulama, saintis,intelektual dan lain-lain dalam satu pasukan yang akan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan yang kreatif dan inovatif dalam bidang angkasa lepas ini.

7. Semoga usaha awal ini akan membuka satu langkah yang lebih jauh dalam usaha penerokaan angkasa lepas dan juga penguasaan dalam industri angkasa lepas. Kita mengalu-alukan satu kerjasama yang besar dalam menjayakan misi ini. Apa yang pasti tiada yang mustahil sesuatu itu melainkan dengan tekad dan usaha yang giat dan bijak bersama dengan kehendak Allah.

Tiada ulasan: